Your Title

KUALA LUMPUR: Jika dilihat pada hasil kraf kait berbentuk itik dan sotong berkenaan, pasti tidak ada yang menyangka semua itu adalah kerja tangan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

Lebih mengagumkan, kemahiran mengait persis orang dewasa yang dimiliki Delisha Maira Johan itu dipelajarinya atas inisiatif sendiri menerusi laman YouTube.

“Saya suka menonton video di YouTube dan semasa melayari laman sosial itu keluar video mengait. Bila tengok, rasa macam mudah dan boleh buat. Selepas itu saya minta ibu belikan barang-barang (mengait).

“Hasil seni kait pertama saya adalah ‘mini pouch’ (pau mini) yang saya buat hanya dengan mengikut langkah yang ditunjukkan dalam video... tak sangka menjadi. Saya ambil masa beberapa hari untuk siapkan satu beg itu,” katanya ketika ditemui Bernama di kediaman keluarganya di Shah Alam, Selangor.

Aksi Delisha Maira mengait barangan kraf yang dikongsikan menerusi Facebook meraih jutaan tontonan dan menerima banyak komen positif, memuji bakat yang dimiliki kanak-kanak tersebut.

Bercita-cita menjadi seorang cef, murid Tahun Lima itu berkata kini dia tidak lagi mengambil masa yang lama untuk menghasilkan seunit kraf kait.

“Sekarang saya makin laju (cekap), untuk (siapkan) seekor itik saya ambil masa dalam satu setengah jam sahaja,“ katanya yang menghasilkan kopiah buat ayah dan datuknya serta hadiah bersempena dengan Hari Guru untuk ustaznya baru-baru ini.

Menyarankan agar rakan-rakan sebaya menuruti jejaknya, Delisha Maira yang meminati subjek Bahasa Melayu berkata aktiviti tersebut membantu dirinya menjadi lebih fokus dan tekun.

Sementara itu, ibunya Mira Mislan, 46, berkata Delisha Maira adalah seorang yang ceria namun teratur dan berdisiplin dalam setiap perkara yang dilakukan.

Mira yang tidak mahir mengait walaupun mempunyai asas, berkata anaknya memperoleh kemahiran itu dengan belajar menerusi video di YouTube tanpa sebarang tunjuk ajar daripadanya.

“Apabila dia menyatakan minat mahu mengait, saya ikutkan sahaja kehendaknya. Saya langsung tidak menyangka yang dia boleh secekap ini... paling terkejut apabila dia mengait itik dalam masa sejam lebih... tiba-tiba benang kuning yang diberi dah menjadi itik.

“Dia seperti kanak-kanak lain suka bermain telefon (menonton video), (jadi) apabila ada hobi baharu yang lebih berfaedah saya sokong. Saya tidak kisah berbelanja lebih sedikit untuk aktiviti yang berfaedah,“ katanya, menambah Delisha Maira juga suka membantunya di dapur.

Menurut Mira lagi, produk kraf yang dihasilkan oleh anaknya itu mendapat permintaan tinggi dengan ramai yang mahu menempah, terutamanya kraf itik, namun terpaksa ditolak kerana anaknya masih bersekolah.

“Dia cuma mengait pada masa lapang dan selepas semua kerja sekolahnya siap.

“Saya tidak mahu, jika ambil tempahan akan mengganggu pembelajaran anak. Lagipun tahun ini dia ada peperiksaan UPKK (Ujian Penilaian Kelas KAFA), saya harap dia fokus pada pelajaran dahulu dan jadikan mengait hobi pada masa terluang,“ katanya.