Your Title

KUANTAN: Banjir di daerah Raub dan Lipis pulih sepenuhnya selepas lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 441 mangsa daripada 127 keluarga ditutup hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub memaklumkan bahawa banjir yang melanda Raub sejak Ahad lepas telah menyebabkan pembukaan enam PPS yang menempatkan 223 mangsa daripada 66 keluarga.

“Cuaca semakin baik dan banjir mula surut secara berperingkat pada petang semalam. Mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 9 pagi ini. Bagaimanapun, penduduk dinasihati supaya terus peka dengan kenaikan paras sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Sekretariat JPBD Lipis memaklumkan bahawa dua PPS yang dibuka semalam dan menempatkan 218 mangsa daripada 61 keluarga, juga akan ditutup hari ini secara berperingkat.

“Sekolah Kebangsaan Kechaui Tui yang menempatkan 133 orang daripada 34 keluarga dijangka ditutup pada pukul 10 pagi ini, manakala Dewan Semai Bakti Felda Kechaui yang menempatkan 85 orang daripada 27 keluarga, dijangka ditutup pada 12 tengah hari ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir susulan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh pada Ahad lepas, diikuti dengan Lipis.