ISLAMABAD: Lebih 4.2 juta orang terjejas akibat banjir monsun di Wilayah Punjab, Pakistan dengan beberapa daerah di selatan paling teruk terkesan menurut penilaian keperluan segera.
Kajian yang dikeluarkan pada Jumaat oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) dijalankan bersama kerajaan wilayah dari 8 hingga 18 September.
Penilaian tersebut melibatkan hampir 2,000 kampung di 18 daerah yang terjejas banjir.
Kajian mendapati kira-kira 2.8 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat bencana alam itu.
Kira-kira 161,700 rumah rosak manakala infrastruktur kesihatan serta pendidikan mengalami kerosakan teruk.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan, kira-kira tiga juta orang diselamatkan atau dipindahkan antara 26 Jun dan 19 September di seluruh negara.
Banjir turut merosakkan 12,559 rumah dan menyebabkan 6,509 haiwan ternakan mati.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif sebelum ini mengumumkan peningkatan jumlah pampasan ex gratia kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa.
Pampasan dinaikkan daripada satu juta rupee kepada dua juta rupee (kira-kira US$7,000). – Bernama, Xinhua