• 2025-07-21 12:40 PM

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Zaim Ikhwan Zahari daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas.

Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan, 30, pada akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan ibu kepada Zayn Rayyan, iaitu Ismanira Abdul Manaf, 30, membela diri atas pertuduhan sama.

Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Syahliza dalam penghakiman ringkasnya berkata setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara penilaian maksimum serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan pada akhir kes pendakwaan.

“Oleh itu, tertuduh pertama (Zaim Ikhwan) dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, manakala bagi tertuduh kedua (Ismanira), mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh kedua dan dia dipanggil untuk membela diri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,“ kata hakim itu.

Ismanira, yang memberikan keterangan bela diri hari ini, memilih untuk berbuat demikian secara bersumpah dari kandang saksi.

Terdahulu, Ismanira dimaklumkan oleh mahkamah bahawa dia mempunyai tiga pilihan, iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; memberikan keterangan secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pendakwaan; atau memberikan keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk mengemukakan soalan semasa pemeriksaan balas.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, kelihatan Ismanira dan suaminya menangis dan berpeluk serta ditenangkan oleh ahli keluarga mereka.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dan mayatnya ditemukan keesokannya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya - BERNAMA