GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menempatkan anggota penguat kuasa bagi menjalankan pemantauan di Gurney Bay, di sini, ekoran aduan terdapat pengunjung yang membawa haiwan peliharaan ke taman itu.

Pengarah Penguatkuasaan MBPP Noorazrein Noorazlan Ong berkata anggota penguat kuasa berkenaan akan ditempatkan bermula 5 pagi setiap hari di taman rekreasi itu yang baru beroperasi pada 4 Feb lepas.

“Ini bagi mengelak kegusaran orang awam berhubung isu terdapat pengunjung membawa haiwan peliharaan ke Gurney Bay dan memastikan pengunjung yang datang mematuhi peraturan yang ditetapkan,“ katanya dalam kenyataan pada Feb 13.

Media sebelum ini melaporkan tiada papan tanda melarang haiwan peliharaan dibawa ke Gurney Bay menyebabkan kebanyakan pemilik bersikap tidak peduli terhadap persekitaran dan sensitiviti ketika mengunjungi taman rekreasi fasa pertama itu yang berkeluasan 11.2 hektar.

Menurut laporan media, hasil tinjauan yang dibuat mendapati hampir lima ke enam ekor anjing dibawa masuk ke taman rekreasi itu oleh pemilik sehingga menimbulkan suasana kurang senang dalam kalangan pengunjung khususnya yang beragama Islam.

Mengulas lanjut, Noorazrein berkata ketika ini, pihak kontraktor Gurney Bay masih dalam tindakan untuk menyediakan dan memasang papan tanda bagi memaklumkan kepada orang awam mengenai perkara yang dibenarkan dan dilarang di taman rekreasi itu.

“Kesemua peraturan itu adalah berdasarkan akta dan undang-undang kecil yang dikuatkuasakan oleh MBPP termasuk Undang-Undang Kecil Taman MPPP 1993 yang mempunyai peruntukan mengenai larangan kemasukan haiwan ke dalam taman,” katanya. - Bernama