• 2025-07-01 05:31 PM

GEORGE TOWN: Polis mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau luka pada badan wanita dan anak perempuannya yang ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata dapatan itu diperoleh daripada bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), pagi ini.

“Pemeriksaan dalaman menunjukkan pereputan organ dalaman dan tiada sebarang kecederaan mencurigakan.

“Sehubung itu, klasifikasi kes kekal sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, mayat seorang wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya berumur dua tahun ditemukan dalam keadaan reput di sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini, susulan aduan bau busuk daripada orang awam.

Sementara itu, adik kepada wanita itu yang mahu dikenali sebagai Noor berkata kakaknya merupakan anak kedua daripada tujuh beradik, tinggal di situ bersama anaknya dan tidak pernah memaklumkan jika ada menghidap sebarang penyakit.

“Kakak tidak bekerja dan rumah pangsapuri itu milik sendiri. Kali terakhir saya menemui kakak ialah bulan lepas dan selepas itu hanya berhubung melalui telefon,” katanya.

Jiran mangsa, Abdullah, 50-an, berkata mula menghidu bau busuk pada 21 Jun, yang semakin kuat di kawasan koridor tingkat atas sehingga pekarangan bawah blok didiami dua beranak tersebut.

“Kami telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak pengurusan kerana bau semakin kuat, namun langsung tidak menyangka bau itu dari rumah mereka,” katanya.

Abdullah berkata mereka juga jarang melihat mangsa dan anaknya keluar rumah, selain ada jiran mengatakan kali terakhir ternampak dua beranak itu ialah lebih dua bulan lepas.