GEORGE TOWN: Penduduk di kawasan sebuah pangsapuri di Bukit Jambul, dekat sini gempar apabila menjumpai sebuah beg mengandungi objek disyaki peluru di tempat pembuangan sampah di perumahan itu hari Selasa (Mac 4).
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 1.40 tengah hari.
“Hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati sebuah beg yang mengandungi sejumlah peluru hidup dan kosong jenis kaliber .22 telah ditinggalkan di tempat pembuangan sampah itu oleh individu yang tidak dikenali,“ katanya dalam kenyataan malam Selasa.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 dan pihak polis memandang serius terhadap kes terbabit serta siasatan lanjut dari pelbagai sudut sedang dijalankan.
Abdul Rozak berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan pihak polis dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Insp Nurul Aishah Izati Zaidi menerusi talian 011-21544465 atau mana-mana balai polis berdekatan.