PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini, melepas dan membebaskan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Mohd Arif Ab Rahman daripada pertuduhan bersubahat dengan anak lelakinya dalam kes rasuah bernilai SG$200,000 (RM627,636) berkaitan projek bekalan elektrik luar bandar (BELB) di Sandakan, Sabah, sembilan tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan, dalam keputusan sebulat suara, membenarkan rayuan Mohd Arif untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM3 juta terhadapnya.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan sabitan terhadap anak Mohd Arif, Ahmad Zukhairi atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai SG$200,000 berkaitan beberapa projek melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar pada 2016.
Hakim Vazeer Alam turut mengurangkan hukuman penjara terhadap Ahmad Zukhairi daripada lima tahun kepada empat tahun bagi semua empat pertuduhan manakala denda RM9.6 juta dikekalkan.
“Bagi hukuman penjara 10 tahun jika gagal membayar denda, ia dikurangkan kepada enam tahun,“ katanya.
Hakim Azizul Azmi semasa membacakan penghakiman berkata keterangan mengikut keadaan terhadap Mohd Arif, 68, adalah tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahannya.
Beliau berkata keterangan secara keseluruhannya tidak menyokong perbuatan bersubahat dan bukti yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya tidak boleh dianggap sebagai kesalahan bersubahat di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, hakim menyatakan sabitan terhadap Ahmad Zukhairi, 43, bagi kesalahan meminta dan menerima rasuah ialah dapatan fakta, yang mahkamah mendapati tiada kesilapan dalam keputusan itu.
“Mahkamah Rayuan tidak diyakinkan oleh peguam bahawa terdapat salah arah oleh mahkamah terdahulu yang memerlukan pembebasan. Sabitan terhadap tertuduh kedua (Ahmad Zukhairi) adalah selamat dan dikekalkan.
“Oleh itu, rayuan perayu pertama (Mohd Arif) adalah dibenarkan manakala rayuan perayu kedua ditolak,“ katanya dan memerintahkan Ahmad Zukhairi menjalani hukuman penjara bermula pada hari ini.
Sementara itu, peguam Datuk Zamani Ibrahim mewakili Ahmad Zukhairi memohon hukuman terhadap anak guamnya dikurangkan atas alasan dia menanggung dua anak selain bagi memberi peluang kedua kepada perayu.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata hukuman yang dikenakan terhadap Ahmad Zukhairi adalah setimpal.
“Mengambil kira umur perayu, insya-Allah dia akan menjadi manusia berguna kepada masyarakat selepas dibebaskan dari penjara nanti,” katanya.
Pada 14 Nov 2018, Mahkamah Sesyen mendapati Mohd Arif bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Ahmad Zukhari menerima rasuah SG$200,000 (RM627,833) daripada Pengarah Syarikat Wazlina Sdn Bhd Mohd Safian Salleh.
Beliau didakwa menerima wang itu sebagai suapan bagi mendapatkan kelulusan projek sistem solar hibrid di empat pulau terpencil di Sandakan bernilai RM57.5 juta yang dianugerahkan kepada Syarikat Eramaz (M) Sdn Bhd, syarikat sekutu kepada Syarikat Wazlina, di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia di sini antara 4 petang hingga 7 malam pada 23 Ogos 2016.
Ahmad Zukhairi, seorang ahli perniagaan, disabitkan atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan beberapa projek melibatkan kementerian terbabit pada 2016.
Rayuan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Mac 2021 menyebabkan mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.