• 2025-08-20 03:29 PM

BUTTERWORTH: Seorang bekas ejen penasihat tuntutan sebuah firma guaman didenda RM97,200 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu berhubung tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dua tahun lepas.

Ari Arjunan, 37, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa secara tidak jujur telah menipu dua orang pemohon dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa dia boleh menguruskan peratusan tafsiran penilaian Hilang Upaya Kekal (HUK) yang tinggi oleh jemaah doktor dalam tuntutan PERKESO HUK.

Perbuatan tersebut menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai masing-masing RM50,000 dan RM47,200 kepada tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Old Town White Coffee Seberang Jaya pada September 2023.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar.

Lelaki itu diwakili peguam S. Parameswaran.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman denda RM50,000 untuk pertuduhan pertama dan RM47,200 bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah juga memerintahkan penjara setahun jika gagal membayar denda tersebut. - Bernama