KUALA LUMPUR: Seorang bekas pendaftar sebuah universiti swasta di Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 36 pertuduhan memalsukan dokumen bagi mengeluarkan wang berjumlah RM826,481.29 milik universiti terbabit.

Mohd Fairuz Al-Fatah Badarudin, 40, yang juga merupakan bekas pegawai khas di institusi itu, didakwa memalsukan dokumen “Authorisation Letter” membabitkan jumlah keseluruhan RM826,481.29 dengan niat untuk menipu, di sebuah bank di Jalan Raja Chulan di sini antara 20 Jun 2022 hingga 10 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin manakala peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) G. Sivajothi Pillai yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 kerana anak guamnya kini bekerja sebagai pensyarah di sebuah institusi latihan penerbangan berpendapatan RM2,600 sebulan.

“Tertuduh juga menanggung dua anak kembar berusia 10 tahun, manakala isterinya yang berumur 41 tahun tidak bekerja akibat patah kaki kiri selepas terlibat dalam kemalangan. Anak guam saya juga telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, serta syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes.