KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berharap kerajaan dapat meneruskan pemberian dana kepada Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS-PSGM) pada Belanjawan 2025.

Presiden PGSM Musa Awang berkata menerusi dana itu ia akan dapat membantu ibu tunggal atau pihak tidak berkemampuan membayar kos melantik peguam syarie untuk membuat tuntutan atau menjawab tuntutan di Mahkamah Syariah di seluruh negara.

“BAGUS-PGSM bukan sahaja menawarkan khidmat bantuan guaman tetapi juga khidmat nasihat undang-undang kepada masyarakat Islam yang ingin mendapatkan nasihat konsultasi perundangan berhubung proses dan prosedur di Mahkamah Syariah.

“Bantuan seumpama ini amat diperlukan terutamanya bagi ibu tunggal yang bercerai dalam menuntut hak penjagaan anak dan nafkah, mutaah (sagu hati perceraian) untuk mereka meneruskan kehidupan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dari Oktober 2022 hingga Disember 2023, PGSM telah menerima lebih 1,498 permohonan di seluruh negara dan lebih 549 permohonan telah diluluskan.

Musa berkata hingga Ogos lepas lebih 400 permohonan telah diterima namun ia terpaksa ditangguhkan disebabkan ketiadaan peruntukan disalurkan.

“PGSM berharap kerajaan dapat memperuntukkan bajet atau dana kewangan bagi kesinambungan program ini sekurang-sekurangnya sebanyak RM1.5 juta untuk membantu lebih 400 individu setiap tahun.

“Usaha baik oleh PGSM sebagai persatuan utama yang menaungi peguam syarie di negara ini sewajarnya diberikan sokongan dan galakan oleh Kerajaan MADANI kerana ia bertepatan enam nilai teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya.

BAGUS-PGSM mempunyai lebih 400 panel peguam syarie di seluruh negara.

Belanjawan 2025 bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera,’ akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini (18 Okt) di Parlimen.