JOHOR BAHRU: Kereta milik jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengalami kerosakan dipercayai akibat terkena serpihan letupan kebakaran sebuah kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri, Masai, di sini petang tadi.
Mohd Hilmizudin Daud, 34 yang bertugas membuat liputan kebakaran itu tidak menyangka serpihan letupan itu akan turut mengenai Perodua Kelisa miliknya yang diletakkan kira‑kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Petugas Biro Bernama Johor itu berkata hentakan serpihan tersebut telah menyebabkan cermin sisi kiri keretanya patah dan terdapat kesan remuk serta calar pada bahagian sama.
Bapa kepada seorang anak dan bakal menimang cahaya mata kedua awal Julai ini, meluahkan hanya mampu reda dan termenung seketika memikirkan nasib kenderaan yang selama ini menjadi teman setia dalam setiap tugasannya sejak tiga tahun lepas.
“Saya hanya menyedari kereta alami kerosakan sekitar 7 petang selepas selesai tugasan menghantar gambar yang diambil. Memang sewaktu saya mengambil gambar pun banyak letupan berlaku malah tong pun ada yang ‘terbang’ ke udara dan saya sempat merakamkan momen itu.
“Apabila saya sampai ke kereta hidupkan enjin dan ingin mengundurkan kereta, baru saya perasan cermin sisi kiri telah tiada, pada mulanya saya ingatkan cermin terlipat ke belakang sebab mungkin ada orang yang menyandar di kereta,“ katanya.
Beliau yang bergegas ke lokasi kejadian bersama wartawan Nur Fadhliana Shaari sekitar 2 petang sebaik dimaklumkan berhubung kejadian itu, memanjatkan kesyukuran kerana tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang berada di lokasi berdekatan kejadian.
Menurutnya, ini kali pertama beliau membuat liputan mengenai kebakaran seperti itu sepanjang 11 tahun berkhidmat sebagai jurufoto Bernama.
“Sebaik tiba kami berdua terus melakukan tugas masing-masing namun tidak lama kemudian kami bersama pengamal media yang lain dimaklumkan pihak bomba agar tidak berada berhampiran lokasi kejadian apabila bahang semakin kuat dan ada letupan,“ katanya.
Katanya lebih 10 pengamal media selepas itu beredar ke kawasan berhampiran yang lebih selamat iaitu kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian sekali gus menjelaskan hanya kenderaannya yang mengalami kerosakan.
Kebakaran tersebut menyebabkan kepulan asap hitam tebal setinggi 100 meter dan ia boleh dilihat jelas sejauh lebih lima kilometer di Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL) dan beberapa letupan turut kedengaran sehingga menimbulkan kerisauan penduduk.
Timbalan Ketua Zon I Penguasa Kanan Bomba II Rosfarawadi Ismani Ismail dilapor berkata sebanyak lima premis terbakar dalam kejadian melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu termasuk 15 kenderaan turut musnah.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.54 tengah hari dan seramai 34 anggota dan aset dari beberapa balai bomba termasuk pasukan sukarela dikejarkan ke lokasi kejadian.
Setakat 6.30 petang tadi, tinjauan Bernama mendapati kira-kira 20 keluarga yang tinggal di sekitar Taman Megah Ria, berhampiran lokasi kebakaran, telah diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing buat sementara waktu sehingga operasi pemadaman selesai sepenuhnya.