• 2025-10-10 08:39 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan institusi kewangan untuk menyokong pelaksanaan skim sewa beli rumah dan skim bina-kemudian-jual selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi pembeli rumah pertama, kerajaan bercadang pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga 500,000 ringgit dilanjutkan selama dua tahun sehingga 31 Disember 2027.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bercadang mengenakan duti setem pada kadar rata daripada empat kepada lapan peratus ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing kecuali individu pemastautin tetap di Malaysia.

Langkah ini memastikan pasaran hartanah kekal berdaya saing serta dapat mengawal kenaikan harga rumah untuk manfaat rakyat.

Beliau berkata kerajaan turut mencadangkan perbelanjaan pengubahsuaian dan menukar bangunan komersial kepada tempat kediaman diberi potongan cukai khas bersamaan 10 peratus daripada perbelanjaan yang layak dan potongan cukai terhad sehingga 10 juta ringgit. – Bernama