IPOH: Seramai 7,488 daripada 14,534 individu yang direkodkan terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah di Perak sepanjang tahun lepas merupakan golongan belia, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi.
Beliau berkata statistik itu agak membimbangkan kerana ia mewakili 51.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih dadah di Perak yang direkodkan dalam tempoh sama.
“Mereka yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 39 tahun adalah kumpulan umur yang paling ramai terjebak dalam kegiatan tidak bermoral ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah (HAD) Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.
“Selain itu kategori dadah Amfetamin (ATS) merupakan dadah yang menjadi pilihan utama penagih iaitu mewakili kira-kira 47.4 peratus penggunaan berbanding dadah jenis lain seperti ganja, opiat, psikotropik dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu Mohd Azlan berkata lebih 500 individu terlibat dalam penganjuran program sambutan hari ini yang bertujuan memberi kesedaran serta mengukuhkan komitmen semua pihak dalam memerangi dadah.
Beliau berkata program turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti pertandingan mencipta slogan antidadah, pertandingan mewarna, pertandingan futsal, pameran agensi kerajaan dan sebagainya.