KUALA LUMPUR: Awal pagi ini, negara sekali dikejutkan dengan nahas tragis membabitkan kemalangan maut yang mengorbankan nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Banun, berdekatan Tasik Banding, Gerik, Perak.

Insiden pada 1.10 pagi itu melibatkan bas sewa khas membawa pulang pelajar UPSI ke kampus di Tanjung Malim, Perak dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, kedua-duanya dari pantai timur menghala ke Gerik, sebelum terlibat dalam kemalangan itu.

Kemalangan dilaporkan berpunca daripada bas persiaran dari Jertih, Terengganu itu yang terlanggar belakang kereta berkenaan sebelum terbalik, dan kereta itu pula terbabas ke dalam parit.

Kemalangan itu melibatkan keseluruhan 48 mangsa, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala tujuh lagi mangsa berada di zon merah serta 20 mangsa lagi ditempatkan di zon kuning dan enam mangsa di zon hijau di Hospital Gerik.

Proses bedah siasat 13 jenazah dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala dua lagi jenazah diuruskan di Hospital Gerik.

Setakat ini tiada maklumat rasmi dikeluarkan daripada pihak berkuasa berhubung senarai nama mangsa terkorban atau cedera.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam catatan di Facebooknya turut memaklumkan pihak UPSI telah menubuhkan bilik gerakan berserta hotline serta urusan bantuan penginapan untuk keluarga mangsa, yang diselaras bersama Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan Kolej Komuniti Gerik.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff turut memaklumkan pihaknya menyediakan seorang kakitangan UPSI bagi tiap satu keluarga mangsa untuk memastikan semua waris mangsa mendapat bantuan sewajarnya.

Untuk rekod, insiden menyayat hati ini berlaku dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam dekat Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lepas.

Kali terakhir insiden kemalangan bas membabitkan jumlah kematian yang banyak adalah pada 24 Dis 2016 yang menyaksikan 14 maut dan 16 cedera apabila sebuah bas ekspres terjunam ke dalam cerun sedalam 20 kaki di KM137 Lebuh Raya Utara Selatan PLUS, berdekatan Kampong Jayo, Muar, Johor.

Namun tragedi pada 21 Ogos 2013 merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 37 termasuk pemandu bas maut dan 16 cedera, apabila bas membawa 52 penumpang terbabas dan terhumban 60 meter ke dalam gaung di KM3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur.