KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan prosiding perbicaraan membela diri Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta ke 2 September depan.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette berikutan peguam Datuk Seri K. Kumaraendran tidak sihat untuk mengendalikan perbicaraan.
“Datuk Kumaraendran tidak sihat kerana ada cecair dalam peparu beliau serta beliau masih dalam rawatan yang mempunyai kesan sampingan dalam tempoh ini.
“Saya mohon supaya penangguhan dibenarkan,“ kata Teh yang mengendalikan kes pasangan itu bersama peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar.
Mahkamah turut melapangkan tarikh perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada esok dan Rabu (20 Ogos).
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How menyatakan pihak pendakwaan membantah permohonan berkenaan dan bersedia meneruskan perbicaraan bela diri pasangan suami isteri itu.
“Sekiranya keadaan kesihatan peguam Kumaraendran masih dalam keadaan sama iaitu tidak sihat, tertuduh pertama (Bung Moktar) boleh memberi keterangan pada 2 Sept nanti,“ kata Law.
Pada 22 Mei lalu, Bung Moktar dan Zizie Izette gagal mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan.
Mahkamah Rayuan pada 18 November 2024 memerintahkan pasangan itu membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan mereka yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023.
Pada 2 September 2022, Hakim Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau juga dituduh menerima rasuah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette. – Bernama