KUALA LUMPUR: Bintang muda bola sepak wanita Malaysia yang sedang meningkat naik Nur Mecca Rania Mohd Hazri telah membanggakan negara dengan membantu Iowa Lakes Community College meraih gelaran sulung Kejuaraan Wilayah 11 di Waterloo, Amerika Syarikat, 3 Nov lepas.

Dalam perlawanan akhir Nur Mecca menjaringkan gol untuk memberi inspirasi kepada Iowa Lakes Community College meraih kemenangan 5-4 menerusi sepakan penalti ke atas Hawkeye Community College selepas perlawanan berkesudahan 1-1 dalam aksi yang berlanjutan ke masa tambahan.

Nur Mecca boleh berbangga selepas memainkan peranan penting dalam membantu The Lakers menamatkan penantian panjang mereka untuk meraih kejuaraan.

Bukan itu sahaja, pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 19 tahun ini mencipta pencapaian cemerlang dengan merangkul tiga anugerah - Penyerang Terbaik, Pasukan Terbaik Kejohanan dan Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan berkenaan.

“Memandangkan saya kini dalam tahun kedua pengajian ijazah, saya mahu memberi impak besar kepada pasukan kerana tahun lepas saya tidak dapat menyumbang banyak. Saya mengambil serius musim ini, ingin berjaya bukan hanya untuk diri tetapi juga pasukan, jadi saya melakukan segala yang termampu bagi membantu pasukan ini menjadi juara.

“Malam sebelum aksi final, saya tertanya-tanya adakah akan tersenarai dalam Pasukan Terbaik Kejohanan. Saya meragui diri saya mengenai dua pengiktirafan lain, tetapi saya teruja dipilih sebagai MVP dan Penyerang Terbaik Kejohanan. Ia adalah pencapaian besar bagi saya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Namun Nur Mecca masih tidak mudah untuk berpuas hati dengan pencapaian berkenaan.

Setelah menjaringkan 12 gol dan menampilkan lapan bantuan jaringan musim ini, beliau kini fokus untuk memimpin pasukannya meraih satu lagi pencapaian - layak ke Kejohanan Kebangsaan NJCAA melalui Plains District Championship apabila mereka berdepan dengan pemenang District 13 pada 9 Nov ini.

“Lawan kami belum ditentukan lagi tetapi mungkin Johnson County Community College. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana kami berada di ranking ke-16 dan mereka di tempat kedua peringkat nasional. Terdapat jurang yang signifikan tetapi saya percaya tiada yang mustahil. Kami hanya perlu bermain seperti biasa dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu Mohd Hazri meluahkan rasa penuh bangga atas pencapaian anaknya yang mungkin menjadi pemain wanita ASEAN pertama meraih MVP dalam kejohanan NJCAA.

“Saya tidak dapat mengesahkan berhubung pemain wanita ASEAN pertama yang meraih anugerah MVP itu...namun saya boleh mengesahkan Nur Mecca adalah pemain Malaysia pertama yang memenangi MVP dalam kejohanan NJCAA.

“Saya berharap dia terus cemerlang dalam akademik mahupun bola sepak. Ramai yang mencadangkan Nur Mecca mengejar kerjaya profesional di Eropah suatu hari nanti dan buat masa ini, itu masih menjadi cita-citanya. Namun Nur Mecca terus mengambil sikap terbuka kepada sebarang pilihan kerana dia juga gemar belajar,” katanya.

Nur Mecca seorang pelajar ‘A’ di padang dan juga di luar padang, dengan mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam dua semester pertama ijazahnya dalam bidang Arts-General Studies, dengan perancangan untuk memilih sama ada Sains Komputer atau Kewangan sebagai pengkhususan tahun depan.

Beliau kini menanti peluang untuk menunjukkan kebolehan bersama pasukan senior kebangsaan setelah mewakili Malayan Tigress sejak usia 12 tahun dan bermain untuk pasukan bawah 15 tahun (B-15), bawah 18 (B-18) dan bawah 19 (B-19) dalam pertandingan antarabangsa.