Your Title

KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) komited memastikan kelulusan visa dan permit pemain importnya diperoleh secepat mungkin bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Presiden KDN FC Rozi Muhamad berkata ketika ini pihaknya sedang berada di peringkat akhir bagi melengkapkan beberapa dokumen yang diperlukan untuk menyelesaikan isu terbabit.

Beliau berkata kelewatan menyelesaikan masalah ini disebabkan oleh beberapa isu teknikal yang tidak dapat dielak dihadapi pihak kelab.

“Peringkat akhir kelulusan visa, kami telah menyelesaikan perkara berkaitan dokumentasi dan pembayaran kepada pihak berkuasa dan kini hanya menunggu kelulusan rasmi seterusnya pengeluaran visa dapat dilakukan

“Sebelum ini terdapat kekeliruan daripada pihak ejen pemain berkenaan melibatkan proses dan masalah teknikal yang dihadapi kelab,” katanya dalam kenyataan hari ini.