JOHOR BAHRU: Biro Politik PKR akan mengadakan mesyuarat khas pada 29 Mei ini bagi membincangkan mengenai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat khas itu, akan menumpukan kepada program pilihan raya tersebut.
“Mungkin dalam beberapa hari ini, sebelum ramai yang akan ke Mekah dan ada pemimpin kita ke sana, (saya) turut mendoakan mudah-mudahan (mereka) mendapat haji yang mabrur.
“...tapi sementara sebelum dia pergi, sebaik sahaja selesai ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, mungkin 29 hari bulan ini kita akan adakan mesyuarat biro politik untuk rangka program PRN Sabah,” kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam ucapan penggulungan sekali gus menangguhkan Kongres Nasional tahunan PKR 2024/2025, yang berakhir hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata perbincangan bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, untuk berkerjasama juga telah diadakan.
“Saya telah bincang untuk memastikan kerjasama boleh dilakukan dengan syarat suatu pengiktirafan tentang usaha Keadilan dan PH, supaya diberikan peluang untuk bersama-sama bekerja memperjuangkan dan membela nasib rakyat Sabah,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut memberikan jaminan bahawa PKR dan Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri yang munasabah untuk ditandingi pada pilihan raya negeri akan datang.
Terdahulu, Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar dalam penggulungan ucapan dasar Presiden, mahu PKR diberikan sekurang-kurangnya 13 kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya negeri itu dan mencadangkan Presiden parti berbincang dengan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan.