SEPANG:SEPANG, 31 Mei (Bernama) -- Polis Selangor menerima tujuh laporan kes restoran makanan segera dicoteng dan ditulis dengan perkataan jelik di negeri itu bagi tempoh 28 Mei hingga semalam, dipercayai sebagai tanda boikot berhubung isu Palestin-Israel.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata empat kes berlaku di Sungai Buloh, satu di Kajang dan dua di Petaling Jaya.

“Di Sungai Buloh dan Petaling Jaya, suspek telah menconteng premis dengan perkataan jelik manakala di Kajang pula premis ditampal bendera Israel,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini sepasang suami isteri telah ditahan kerana dipercayai menampal bendera Israel di Kajang semalam.

“Pasangan ini ditahan awal pagi tadi dan polis merampas baju serta kenderaan digunakan ketika menampal bendera itu,” katanya menambah bahawa mereka kini direman selama sehari hari ini.

Hussien berkata pihaknya akan menyiasat sama ada pasangan terbabit mempunyai kaitan dengan beberapa kes di negeri ini.

“Setakat ini, coraknya berbeza kerana kes lain ada contengan atau semburan cat tetapi mereka ini menampal bendera,” katanya.

Beliau berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Polis memandang serius kes-kes ini dan mengingatkan masyarakat agar tidak melakukan tindakan yang membelakangkan undang-undang negara, tambah beliau.