JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor telah berjaya memadam 50 peratus kawasan kebakaran belukar seluas lapan hektar, di Jalan Sebana Cove menuju Punggai di Kota Tinggi, sejak tiga hari lepas.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata kebakaran belukar itu dikesan berlaku pada pukul 2.57 petang, Ahad lepas dan operasi pemadaman melibatkan seramai 15 anggota dengan tiga jentera termasuk dari BBP Punggai dan Kota Tinggi.
“Setakat ini, kita telah berjaya memadam sebanyak 50 peratus kebakaran dengan menggunakan teknik dua aliran 300 kaki, dua breaching dan empat pancutan sumber air dari tangki air,“ katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata bomba kini giat menjalankan operasi pemadaman selama 24 jam dengan strategi berbeza diaplikasikan bagi operasi pemadaman pada sebelah siang dan malam.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menerbangkan sebuah pesawat amfibia jenis Bombardier CL-415 bagi membantu operasi pemadaman kebakaran belukar tersebut.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria menerusi kenyataan berasingan berkata bantuan diberikan setelah Unit Drone Bomba yang membuat pemantauan udara di lokasi kebakaran sejak tiga hari lepas, mendapati keluasan kebakaran semakin merebak.
“Setelah menerima permohonan bantuan daripada Pejabat Daerah Kota Tinggi, pesawat diatur gerak ke lokasi kejadian dan melakukan water bombing untuk memadamkan kebakaran,“ katanya.
Beliau berkata pesawat Bombardier CL-415 mampu membawa sehingga 6,000 liter air bagi setiap kali water scooping dan menerusi operasi hari ini, pesawat berjaya melakukan 18 kali water bombing.
Nurul Hizam berkata operasi sama akan disambung esok sehingga keseluruhan kawasan kebakaran berjaya dipadamkan.-Bernama