KUALA BERANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian bot terbalik di Pulau Perhentian, Besut malam tadi yang mengorbankan tiga nyawa termasuk dua beranak.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata siasatan akan merangkumi aspek perlesenan bot, muatan, dan pematuhan peraturan.
“Kita akan melaksanakan siasatan terperinci dalam pelbagai aspek, termasuk menghubungi mangsa terlibat,“ katanya selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu hari ini.
Kejadian berlaku sekitar 10.30 malam tadi melibatkan 15 penumpang. Tiga mangsa maut ialah S. Arumugam, 40, anaknya A. Sarrvihka, 3, dan saudara perempuan V. Vennpani, 10.
Dua lagi cedera, seorang dalam keadaan kritikal.
Menurut laporan awal, bot dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas makan malam apabila dipukul ombak besar.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, turut mengesahkan kerjasama erat antara polis, APMM, dan Jabatan Laut untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.
“Pemandu bot terbabit mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah. Kami akan tingkatkan pemantauan,“ tegasnya.