SHAH ALAM: Ibu kepada Gan Hon Tat, mangsa bot terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang pada Jumaat lepas, meraung kesedihan selepas membuat pengecaman mayat anak lelakinya di Unit Forensik, Hospital Shah Alam, hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati Chan Pei Pei, 60, kelihatan tenang semasa menunggu di pekarangan Unit Forensik itu bersama suaminya, sebelum mereka dibenarkan masuk ke bilik bedah siasat sekitar 12 tengah hari tadi.
Turut dilihat memasuki bilik bedah siasat ialah seorang lelaki dipercayai abang kepada isteri Gan, Careen Man bagi membuat pengecaman terhadap mayat adiknya yang turut maut dalam kejadian itu.
Selepas 15 minit, Chan dilihat keluar sambil menangis teresak-esak sehingga perlu ditenangkan oleh ahli keluarga yang berkumpul di situ sejak pagi, selepas pihak berkuasa menemukan mayat pasangan suami isteri itu hari ini.
Ahli keluarga mangsa sekadar memaklumkan proses bedah siasat pasangan dari Klang Utama itu dijangka selesai pada 4 petang ini.
Terdahulu, mayat Gan, 32, dan Man, 29, ditemukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 7.45 pagi di kedudukan 0.1 batu nautika dari Pusat Hidrografi Nasional, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
Mereka antara enam mangsa kejadian bot terbalik pada sekitar 5 petang Jumaat, dengan tiga termasuk seorang kanak-kanak ditemukan maut pada hari kejadian, manakala seorang remaja lelaki selamat.