LONDON: Setiausaha Luar Britain David Lammy akan berusaha memperkukuh hubungan ekonomi UK-India semasa lawatannya ke New Delhi hujung minggu ini, sambil menyifatkan perjanjian perdagangan yang dipersetujui antara kedua-dua negara itu sebagai “hanya permulaan aspirasi kita,“ lapor PA Media/dpa.
Perdagangan dan isu migrasi akan menjadi tumpuan utama lawatan Lammy, yang dijadual bertemu Perdana Menteri India Narendra Modi dan Menteri Hal Ehwal Luar S Jaishankar.
Pejabat Luar Britain memaklumkan Lammy yang dijangka tiba di New Delhi pada Sabtu, juga akan menyentuh “peningkatan ketegangan susulan serangan pengganas di Pahalgam dan bagaimana tempoh keamanan yang berterusan ini dapat terus disokong demi kestabilan rantau itu.”
Pakistan dan India sebelum ini bersetuju mengadakan gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat bulan lalu, selepas ketegangan memuncak selepas serangan maut ke atas pelancong di Pahalgam, Kashmir.
Menjelang lawatannya, Lammy berkata: “Menandatangani perjanjian perdagangan bebas hanyalah permulaan kepada aspirasi kami – kami sedang membina kerjasama moden dengan India untuk era global yang baharu.
“Kami mahu melangkah lebih jauh untuk memupuk hubungan yang lebih erat dan bekerjasama dalam usaha merangsang pertumbuhan, memajukan teknologi inovatif, menangani krisis iklim, melaksanakan keutamaan migrasi, dan meningkatkan keselamatan untuk rakyat.”
Pejabat Luar Britain berkata rundingan di New Delhi akan memberi tumpuan “memperdalam dan mempelbagaikan Rakan Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.