KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula hari ini dilakukan secara berperingkat bagi mengelak situasi sama berlaku semasa hari pertama Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 31 Ogos lepas.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata langkah itu juga membolehkan kerajaan bertindak awal sekiranya ada masalah dikesan pada hari pertama.
“Pelaksanaan tiga peringkat ini susulan iktibar daripada pelaksanaan SARA tempoh hari dengan ramai rakyat Malaysia menguji sistem itu pada hari pertama,” katanya ketika ditemui pemberita semasa meninjau pelaksanaan BUDI95 di sebuah stesen minyak di Taman Tun Dr Ismail.
Bermula tengah malam tadi, seramai 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol pada harga RM1.99 seliter selaras pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Sept lepas.
Selepas anggota tentera dan polis, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pula akan menikmatinya pada 28 Sept.
Warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif akan menyusul pada 30 Sept ini dengan jumlah seramai 16 juta orang.
Johan berkata setakat ini pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Sebelum ke sini pagi tadi, saya telah meninjau stesen minyak di Kem Perdana Sungai Besi dan mendapati urusan BUDI95 di sana berjalan lancar,” katanya.
Mengulas mengenai had siling 300 liter bagi setiap individu yang layak, beliau berkata jumlah berkenaan lebih daripada mencukupi untuk kegunaan persendirian.
“Mengikut data, 90 peratus rakyat negara ini menggunakan 180 liter petrol untuk sebulan kecuali mereka yang bekerja dalam sektor e-panggilan,” katanya.
Ditanya mengenai kawasan luar bandar yang mempunyai capaian Internet terhad, Johan memaklumkan pihaknya telah meninjau lebih 4,000 stesen minyak di seluruh negara termasuk di kawasan terpencil.
Beliau berkata satu prosedur operasi standard antara kerajaan dengan syarikat minyak telah disediakan bagi menangani keadaan luar jangka.
“Rakyat hanya perlu bayar harga subsidi, kerajaan benarkan bayar harga subsidi tanpa merujuk kepada sistem,” katanya. – Bernama