• 2025-09-03 07:45 PM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui di Mahkamah Sesyen bahawa isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tidak pernah memaklumkan mengenai wang pengenalan yang diterima daripada dua ejen pelaburan Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan saksi pembelaan pertama bersetuju dengan soalan peguam bahawa beliau hanya mengetahui perkara itu apabila dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau turut mengakui isterinya tidak memberitahu atau meminta nasihat mengenai pelaburan yang ingin dibuat oleh pelakon wanita berkenaan.

Bung Moktar bersetuju bahawa Zizie Izette tidak pernah memberitahu pendapatan beliau dan tidak perlu menggunakan wang sendiri bagi perbelanjaan keluarga.

Beliau juga bersetuju bahawa isterinya tidak terlibat dalam cara mendapatkan kelulusan Felcra Berhad atau Menteri Kewangan Diperbadankan untuk membuat pelaburan RM150 juta.

Bung Moktar mengakui Zizie Izette tidak bersubahat dengan beliau menerima sebarang wang daripada Norhaili Ahmad Mokhtar atau Madhi Abdul Hamid.

Pasangan suami isteri itu menghadapi tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar didakwa pada 3 Mei 2019 dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan meluluskan pelaburan Felcra.

Beliau juga dituduh secara rasuah memperoleh wang tunai RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun unit amanah yang didaftarkan atas nama Zizie Izette.

Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di tempat tarikh dan masa serupa.

Kesalahan di bawah Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung petang ini. – Bernama