• 2025-09-05 06:55 PM

KUANTAN: Seorang guru wanita mengalami kerugian sebanyak RM230,447 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang mendakwanya terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Mangsa berusia 40 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai insurans sebelum disambungkan kepada beberapa pihak yang menyamar sebagai polis, pendakwa raya dan Bank Negara Malaysia.

Suspek mendakwa wanita itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan mempunyai 23 akaun bank berdaftar atas namanya sebelum diarahkan membuka akaun baharu di sebuah bank serta membuat pinjaman.

Mangsa turut diminta memasukkan wang simpanan, pinjaman serta hasil gadaian barang kemas ke dalam akaun tersebut dengan alasan kononnya untuk menangguhkan waran tangkap dan mengelakkan pembekuan aset miliknya.

Mangsa mula menyedari diperdaya setelah mendapati pengurangan wang dalam bank miliknya dengan transaksi ke akaun tidak pasti.

Mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama