PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan suami isteri berkenaan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Sept 2023.

Pada 18 Sept 2023, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid pada 7 Sept 2023 yang membebaskan pasangan itu daripada pertuduhan berkenaan.

Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 Sept 2022 yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan itu.

Hakim Mohamed Zaini ketika membacakan keputusan sebulat suara itu berkata isu kritikal dalam rayuan ini ialah sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai hak untuk menyemak semula penemuan kes prima facie.

Beliau berkata perbicaraan jenayah biasanya akan bermula apabila seorang tertuduh didakwa dengan sesuatu tuduhan, kemudian pihak pendakwaan akan memulakan kesnya terhadap tertuduh dengan memanggil saksi serta mengemukakan bukti untuk menyokong kes mereka terhadap tertuduh.

“Pada akhir kes pendakwaan, mahkamah perbicaraan perlu menganalisis keterangan saksi-saksi dan bukti yang dikemukakan dengan penilaian maksimum dan memutuskan sama ada perdakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Kes prima facie dibuktikan terhadap tertuduh apabila pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti kukuh dan dipercayai yang membuktikan setiap elemen kesalahan boleh membawa kepada sabitan, jika tidak dipatahkan atau dijelaskan,” katanya.

Hakim seterusnya berkata jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, mahkamah hendaklah membebaskan tertuduh.

“Jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh atas kesalahan yang didakwa, mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk membela diri. Keputusan untuk membebaskan atau memanggil tertuduh untuk membela diri dibuat setelah hakim bicara membuat penilaian maksimum.

“Prosedur dan kriteria ini ditetapkan di bawah Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah dan peruntukan di bawah seksyen ini adalah mandatori. Sebaik sahaja mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk membela diri kerana perkataan ‘hendaklah’ dalam peruntukan ini tidak memberi pilihan lain kepada mahkamah,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini berkata undang-undang menetapkan bahawa tertuduh tidak boleh membuat rayuan terhadap keputusan untuk memanggil pembelaan.

“Keputusan mahkamah pada peringkat ini tidak tertakluk kepada rayuan kerana ia bukan penyelesaian akhir terhadap hak-hak responden yang meminta semakan terhadap penemuan ini pada dasarnya sama dengan mengemukakan rayuan terhadapnya. Proses perbicaraan yang sewajarnya mesti diteruskan, bagi membolehkan mereka menyediakan pembelaan,” katanya.

Hakim berkata penemuan Mahkamah Tinggi mengenai keputusan hakim Mahkamah Sesyen untuk memanggil responden membela diri adalah terlalu awal.

“Keputusan lisan hakim Mahkamah Sesyen adalah ringkas dan tidak mengandungi hujah yang menyeluruh untuk keputusannya. Keputusan lisan berkenaan bukanlah penghakiman yang mengandungi hujah untuk keputusannya.

“Hakim Mahkamah Sesyen, sebenarnya tidak mempunyai kewajipan untuk memberikan sebarang hujah pada peringkat ini dalam memanggil pembelaan. Kewajipan itu hanya muncul pada akhir perbicaraan, sama ada beliau memilih untuk membebaskan atau mensabitkan responden (Bung Moktar dan Zizie Izette). Ini adalah bahan yang tidak mencukupi dalam keputusan ringkas atau lisan berkenaan untuk disemak oleh hakim Mahkamah Tinggi, dengan andaian bahawa beliau mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,” katanya.

Hakim turut menegaskan bahawa hak untuk perbicaraan yang adil terpakai sama rata kepada pihak pendakwaan.

Beliau berkata membenarkan permohonan semakan keputusan prima facie akan mengganggu perbicaraan, mewujudkan situasi sukar apabila mahkamah perbicaraan perlu melayani banyak permintaan untuk penangguhan bagi membolehkan semua pihak merayu terhadap perintah yang dibuat semasa perbicaraan.

“Ini akan menjejaskan kelancaran perbicaraan, membazirkan masa hakim dan perbelanjaan awam dan mesti dihentikan. Berdasarkan perkara itu, kami membenarkan rayuan oleh perayu.

“Dengan itu, keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan. Keputusan Mahkamah Sesyen dikembalikan dan kami memerintahkan kes ini dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan diteruskan tanpa sebarang kelewatan,” kata Mohamed Zaini, yang kemudiannya menetapkan 5 Dis untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata beliau menerima keputusan mahkamah hari ini.

“Insya-Allah, kalau itu tuntutannya (perintah mahkamah) kenalah... Terima kasih, ya,” katanya sambil tersenyum ditemani isterinya, Zizie Izette.