KUALA LUMPUR: Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa tiada perundingan antara beliau dan dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad berhubung penerimaan wang RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Berhad.
Ahli Parlimen Kinabatangan berusia 65 tahun itu berkata demikian ketika disoal peguamnya M. Athimulan pada perbicaraan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan beliau dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.
Bung Moktar menegaskan bahawa semua fakta yang dinyatakan jelas menunjukkan tiada unsur perbincangan atau perundingan apatah lagi untuk menerima habuan daripada Norhaili Ahmad Mokhtar atau Madhi Abdul Hamid.
Beliau menyatakan tidak mengetahui urusan antara Zizie Izette dan Public Mutual serta berpendirian bahawa semua tuduhan tersebut tidak berasas dan tidak berfakta.
Bung Moktar juga menafikan cadangan pendakwaan mengenai Norhaili meminta supaya wang pengenalan RM3 juta dikurangkan kepada RM2.8 juta.
Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu berkata ia adalah tanggapan kurang sihat pihak pendakwaan terhadap beliau kerana tiada perbincangan pertemuan dan permintaan antaranya dengan ejen-ejen unit amanah terbabit berhubung komisen.
Beliau turut menafikan dakwaan mengarahkan wang berkenaan diuruskan oleh isterinya Zizie Izette dengan menyatakan semua tuduhan sebagai tidak betul dan rekaan semata-mata daripada pendakwaan.
Pada 3 Mei 2019 Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Selain itu beliau didakwa menerima suapan RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas nama isterinya bagi tujuan sama.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda sama jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada 27 November ini. – Bernama