• 2025-08-21 09:36 PM

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 70 mata sehingga hari ini sejak Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dibentangkan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kenaikan prestasi Bursa Malaysia menunjukkan penerimaan RMK13 oleh pasaran.

“Kita harus melihat data secara keseluruhan dan tidak hanya bergantung kepada satu data sahaja,” katanya ketika menggulung perbahasan usul RMK13 bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai tindak balas pasaran dan Bursa Malaysia terhadap pembentangan RMK13.

Mengulas mengenai RMK13 yang dikatakan kabur dan tidak mempunyai ‘wow factor,’ Amir Hamzah berkata dokumen RMK13 harus diteliti dengan mendalam.

“Usaha melakar semula pembangunan tidak boleh hanya berlandaskan dasar dan pendekatan sedia ada yang telah dilaksanakan sekian lama,” katanya.

Menurutnya RMK13 menetapkan keutamaan untuk melaksanakan beberapa pembaharuan dan reformasi termasuk penstrukturan semula ekonomi ke arah ekonomi berasaskan penciptaan nilai.

Perkara tersebut turut merangkumi peralihan kepada negara berteraskan kecerdasan buatan, reformasi pendidikan, reformasi pasaran buruh, reformasi perumahan, reformasi kesihatan dan reformasi perkhidmatan awam.

Amir Hamzah berkata RMK13 dirangka mengguna pakai pendekatan pelbagai dimensi melalui empat tonggak bagi memastikan dasar yang dilaksanakan tidak hanya dilihat dari satu aspek secara silo.

“Tonggak ini ialah meningkatkan kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat pelaksanaan agenda reformasi perkhidmatan awam dan mempertingkat kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Tonggak ini akan disokong oleh 122 strategi, lebih 600 inisiatif dan penetapan 162 Petunjuk Prestasi Utama Nasional. – Bernama