• 2025-07-02 01:52 PM

KUALA LUMPUR: Seorang buruh warga Indonesia, Munzir Abdurrahman, 50, didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas kesalahan mengedar lebih 20 kilogram methamphetamine (syabu). Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim, tetapi tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Menurut pertuduhan, Munzir didakwa mengedar dadah berbahaya seberat 20,850 gram di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati pada 22 Jun lepas sekitar jam 12.38 tengah hari. Kes ini dikendalikan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan maksimum 12 kali jika tidak dihukum mati.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes pada 3 Oktober ini untuk pihak pendakwaan mengemukakan laporan kimia berkaitan kes tersebut. Timbalan Pendakwa Raya S. Kirthana mengendalikan kes manakala tertuduh tidak diwakili peguam.