KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya sehingga mengalami kecederaan parah, minggu lepas.

Azwanazri Mat Riffin, 40, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada bahagian dahi dan hidung isterinya yang berusia 33 tahun di sebuah rumah di Kampung Teluk Kemunting, Bachok pada 10 malam, 15 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membolehkan hukuman penjara dua kali ganda daripada tempoh maksimum asal, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh yang tidak diwakili peguam telah mengaku bersalah.

Hakim Zulkifli Abdullah memerintahkan Azwanazri ditahan reman sehingga tarikh sebutan semula kes pada 23 Jun ini.