KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini mencadangkan langkah reformasi menyeluruh terhadap sistem pengurusan penjara dan tahanan negara.
Cadangan ini termasuk merangka piawaian yang lebih manusiawi bagi memastikan keberkesanan pemulihan serta perlindungan kebajikan banduan.
Isu ini dibangkitkan susulan kebimbangan terhadap kepadatan penjara, keadaan infrastruktur yang daif, dan kekurangan kemudahan rawatan di pusat tahanan seperti didedahkan dalam Laporan Tahunan SUHAKAM 2023.
Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) menyarankan agar kerajaan merangka piawaian minimum bagi pengurusan penjara.
“Saya yakin kerajaan tidak akan ambil mudah isu ini dan saya menyokong usaha kerajaan memperkukuh latihan kepada pihak penguat kuasa melalui kerjasama dengan SUHAKAM,“ katanya.
Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) turut menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan fasiliti pusat tahanan yang uzur.
“Masalah kepadatan jumlah penghuni penjara dan tahanan boleh menyebabkan penyakit berjangkit lebih cepat merebak,“ jelasnya.
Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) pula menyifatkan isu kesesakan penjara sebagai krisis kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera.
Selain itu, isu hak asasi pekerja ekonomi gig turut dibahaskan.
Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) menyatakan golongan ini berada di ‘zon kelabu’ dari segi perundangan.
“Angka pekerja ekonomi gig dijangka meningkat hingga tiga juta orang tahun ini,“ katanya.
V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) pula menekankan perlunya perlindungan undang-undang bagi pekerja gig.
“Mereka masih belum menikmati perlindungan sewajarnya dari sudut keselamatan sosial,“ ujarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perbahasan ini mencerminkan kesediaan negara membincangkan isu-isu sensitif secara terbuka. – Bernama