• 2025-07-22 09:37 PM

KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan suruhanjaya bebas bagi melindungi pemberi maklumat perlu dipertimbangkan kerajaan bagi memastikan wujudnya saluran alternatif yang sah dan selamat, terutama jika agensi sendiri terlibat dalam salah laku.

Young Syefura Othman (PH-Bentong) berkata beliau menyambut baik pindaan dalam Rang Undang-undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 termasuk peruntukan baharu yang membenarkan agensi mengekalkan perlindungan atas dasar kepentingan awam, namun ia masih belum mencukupi tanpa pemantauan badan bebas.

“Saya memuji pindaan 11(1A) yang memberikan budi bicara kepada agensi untuk mengekalkan perlindungan jika pendedahan itu memberikan manfaat besar kepada kepentingan awam.

“Hal ini selari dengan prinsip good faith and public interest seperti diamalkan pada peringkat antarabangsa.

“Namun bagi saya, budi bicara ini tidak cukup sekiranya hanya pada pertimbangan agensi penguat kuasa semata-mata.

“Apa-apa kes yang ada mestilah dirujuk kepada satu badan bebas seperti yang disebut sebelum ini,” katanya ketika sesi perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pula berpandangan penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat dengan anggotanya dilantik oleh menteri tidak menjamin kebebasan dan keberkesanan kerana tiada kuasa semakan atau penguatkuasaan.

“Banyak pemberi maklumat masih berdepan tekanan dan ancaman. Malaysia memerlukan mekanisme perlindungan menyeluruh, bukan hanya bagi sektor awam atau kes rasuah, tetapi juga dalam kes eksploitasi seksual, salah guna kuasa penguat kuasa dan elit korporat.

“Perlindungan perlu diluluskan untuk pelaporan kepada media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau Ahli Parlimen sekiranya pelapor tidak yakin dengan agensi rasmi.

“Kita juga perlu memastikan pelapor dalam kes gangguan seksual, salah guna kuasa politik dan korporat diberikan perlindungan tanpa prejudis,” katanya.

Wong Chen (PH-Subang) mencadangkan supaya menteri melantik empat ahli jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada ahli akademik, ahli Majlis Peguam Malaysia dan seorang wakil NGO. – Bernama