PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata calon untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sudah dikenal pasti.
Beliau berkata pengumuman bakal dibuat dalam masa terdekat.
“Dalam proses (pelantikan), (dalam masa) terdekat ini akan buat pengumuman,“ katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong selepas penyandangnya Datuk Seri Hazani Ghazali bersara wajib pada 10 Februari lepas.
Susulan itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) pada 14 Mei lepas melahirkan kebimbangan mengenai kelewatan pelantikan Ketua Pengarah AKPS yang baharu dan menggesa kekosongan jawatan penting itu perlu diisi segera.