SEOUL: Ketika pilihan raya presiden Korea Selatan semakin hampir dalam tempoh dua hari lagi, para calon pada Ahad menggandakan usaha kempen terakhir mereka bagi mengukuhkan sokongan dan menarik perhatian pengundi atas pagar, lapor Agensi Berita Yonhap.

Lee Jae-myung daripada Parti Demokratik berkempen di kampung halamannya di Andong, kira-kira 190 kilometer tenggara Seoul, sebelum bertemu pengundi di seluruh wilayah Gyeongsang.

Beliau dilihat berusaha memenangi walaupun sebahagian kecil undi di kawasan itu, yang merupakan kubu kuat tradisional calon konservatif dan biasanya menyaksikan sokongan rendah kepada partinya.

Terdahulu, Lee berikrar akan memastikan “layanan adil” kepada para pejuang dan veteran yang telah menabur bakti mempertahankan negara.

“Tanggungjawab asas negara adalah untuk menjunjung semangat patriotisme dengan penuh penghormatan.

“Saya akan meletakkan kemerdekaan, pertahanan negara dan demokrasi sebagai tiga tonggak utama dalam menyokong mereka, termasuk meningkatkan pengiktirafan dan layanan serta memberi penghormatan yang sewajarnya,” tulis beliau di laman Facebook miliknya.

Beliau juga berjanji memperluaskan perkhidmatan kesihatan dan sokongan kewangan kepada golongan itu.

Sementara itu, Kim Moon-soo daripada Parti Kuasa Rakyat berkempen di kawasan sekitar Seoul, bermula di Bandar Baharu Gwanggyo di Wilayah Gyeonggi, dalam usaha mengukuhkan sokongan di kawasan yang beliau pernah berkhidmat sebagai gabenor.

Lee Jun-seok daripada Parti New Reform turut berkempen di Taman Tasik Dongtan di Hwaseong, Suwon, kira-kira 33 kilometer di selatan Seoul, sebagai usaha terakhir menarik sokongan pengundi.

Beliau dijangka mengadakan perhimpunan di Seoul pada lewat hari.

Korea Selatan akan memilih presiden baharu pada 3 Jun ini susulan pemecatan bekas Presiden Yoon Suk Yeol berikutan tindakan beliau mengisytiharkan undang-undang tentera secara singkat pada Disember lalu.