• 2025-09-05 04:21 PM

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati penganut Hindu menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barangan keperluan asas makanan sempena sambutan Deepavali pada 20 Oktober depan.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP N.V Subbarow berkata pihaknya turut menasihatkan supaya tidak membelanjakan wang tersebut untuk barangan yang tidak perlu.

“CAP mengucapkan terima kasih kepada kerajaan MADANI kerana menyediakan RM100 di bawah skim MyKasih dan kami menggesa penerima untuk menggunakannya untuk keperluan terutama membeli barangan keperluan perayaan Deepavali.”

“Ada yang merungut hanya RM100 tetapi sebenarnya jika ada lima orang dalam sebuah isi rumah yang berumur 18 tahun ke atas keluarga tersebut akan mendapat RM500.”

Beliau menegaskan jumlah tersebut mampu mengurangkan banyak beban keluarga B40 semasa perayaan.

Subbarow mengingatkan pengguna supaya tidak tergesa-gesa menggunakan sumbangan itu memandangkan tarikh akhirnya pada 31 Disember nanti.

Kerajaan sebelumnya mengumumkan pemberian sekali RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas di bawah program SARA sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Inisiatif itu memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan melibatkan peruntukan tambahan RM2 bilion.

Peruntukan keseluruhan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara. – Bernama