• 2025-07-10 03:00 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai ‘CEO Batu’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

Muhamad Iqbal Muhamad, 22, yang lebih dikenali sebagai CEO Batu, didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas mangsa di sebuah unit kediaman di Sunway Batu Caves pada 16 Mei lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, memandangkan kes ini mendapat perhatian ramai dan tertuduh merupakan seorang pempengaruh.

Walau bagaimanapun, peguam Muhamad Iqbal, Mohd Anif Rafih, memohon jaminan dikurangkan kepada RM6,000 atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan akaun media sosialnya telah disekat.

“Tertuduh menjaga datuknya yang menghidap penyakit jantung dan perlu menjalani rawatan setiap bulan di Institut Jantung Negara.

Dia juga bersedia dikenakan syarat tambahan seperti melaporkan diri di balai polis dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,“ kata peguam tersebut.

Hakim Norshila Kamarudin membenarkan jaminan RM6,000 dengan syarat tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes ini. - Bernama