• 2025-10-15 10:06 AM

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Kebangsaan Peter Cklamovski memuji semangat berpasukan anak buahnya selepas menundukkan Laos 5-1 dalam aksi keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau berkata walaupun memberikan gol pendahuluan kepada Laos pada babak pertama, para pemain telah mempamerkan kebangkitan menerusi kepelbagaian penyudahan yang sempurna.

Cklamovski menyatakan perlawanan itu merupakan satu cabaran yang baik dan beliau memberi pujian kepada para pemain yang terus fokus serta percaya dengan corak permainan pasukan.

“Separuh masa pertama sedikit tumpul dengan pemain Laos pula terus berusaha,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Jurulatih Laos Ha Hyeokjun mengakui kualiti dimiliki skuad Harimau Malaya selain menyifatkan pasukan lawan lebih baik daripada pelbagai sudut.

Ha Hyeokjun berkata pasukannya bermain mengikut perancangan pada separuh masa pertama tetapi hilang fokus pada babak kedua sehingga akhirnya tewas 5-1.

Beliau percaya para pemainnya telah menunjukkan peningkatan sepanjang perlawanan namun berbanding Malaysia mereka memiliki liga yang lebih berkualiti.

Pada aksi di hadapan lebih 18,000 penonton malam itu Malaysia menampilkan kebangkitan bergaya pada separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 5-1 ke atas Laos.

Kemenangan ke atas Laos menyaksikan pasukan negara mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan untuk mendahului saingan kumpulan.

Pasukan Malaysia mengumpul 12 mata diikuti Vietnam di tempat kedua dengan sembilan mata Laos ketiga dengan tiga mata dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

Selepas ini Malaysia dijadual bertemu Nepal pada 18 November dan akan menamatkan saingan kumpulan menentang Vietnam di Hanoi pada Mac tahun depan. – Bernama