KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung kecurian emas di Sungai Relai, Taman Negara Kelantan di Gua Musang, yang berlaku bulan lepas.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pihaknya sedang menunggu laporan lanjut daripada pihak berkuasa mengenai kegiatan itu.
“Kita akan bagi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan jika terbukti ada, kita minta satu tindakan yang tegas akan diambil.
“Bagaimanapun, kita serah isu ini kepada pihak berkuasa memandangkan pihak berkuasa yang berhak mengambil tindakan bukan kita (kerajaan negeri),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Cawangan Operasi Dinar Dirham dan Kempen Simpanan Progresif Penjawat Awam Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Mohamed Fadzli berkata sebarang aktiviti perlombongan memerlukan prosedur tertentu dan sekiranya melanggar undang-undang, kegiatan itu dianggap sebagai mencuri hak rakyat Kelantan.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Kelantan diingatkan supaya tidak ‘tidur’ berkaitan isu kecurian emas berhampiran Sungai Relai, Taman Negara Kelantan di Gua Musang seperti didedahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara baru-baru ini.
Kegiatan itu dikesan apabila dua lelaki warga asing diberkas pihak berkuasa menerusi Operasi Bersepadu Khazanah kerana melombong emas secara haram di sungai itu pada 22 Jun lepas.