• 2025-09-02 04:29 PM

KUALA LUMPUR: Dasar Wanita Negara (DWN) 2025-2030 melalui Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) menggariskan beberapa inisiatif untuk memperkukuh usaha menangani isu keganasan rumah tangga terhadap wanita.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata inisiatif itu termasuk memperkenalkan subindeks keselamatan wanita dalam Indeks Keselamatan dan Ketenteraman Awam serta memperluas perlindungan sosial kepada mangsa keganasan rumah tangga.

“Selain itu, memperkukuh penyampaian perkhidmatan termasuk pegawai, community of practice dan bantuan sokongan serta meningkatkan bilangan program bagi advokasi penghapusan keganasan terhadap wanita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar yang ingin tahu pendekatan baharu dibawa DWN 2025-2030 khususnya dalam menangani cabaran semasa seperti keganasan terhadap wanita, diskriminasi jantina di tempat kerja, jurang upah antara jantina dan penglibatan wanita dalam ekonomi digital serta sektor bukan formal.

Noraini berkata PTPW turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita dalam ekonomi digital dan sektor bukan formal melalui pelaksanaan inisiatif seperti memperkasa wanita dalam ekonomi digital serta sektor bukan formal.

“Beberapa inisiatif utama juga telah digariskan iaitu melalui penyediaan jendela khusus bagi peniaga kecil wanita yang ingin mendapatkan peluang perniagaan.

“Turut dilaksanakan penyediaan latihan keusahawanan dan akses pembayaran mikro dengan sasaran mendaftarkan serta memperkasakan sejuta usahawan wanita menjelang 2030 serta meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pertanian, perikanan, perladangan dan agromakanan,” katanya.

Mengambil kira cabaran semasa, Noraini berkata DWN 2025-2030 melalui PTPW juga telah menggariskan beberapa inisiatif bagi menangani jurang gaji dan beban berganda seperti program pengarusperdanaan perspektif gender dalam perancangan dasar dan bajet.

Beliau berkata audit gender bagi program dan projek berimpak tinggi turut diperkenalkan untuk memastikan kesaksamaan akses dan penyertaan aktif wanita, selain pengukuhan penyediaan ekosistem pekerjaan kondusif melalui penyediaan insentif untuk majikan mesra keluarga.

“Pemberian kesedaran terhadap kesaksamaan gender dan melaksanakan program advokasi kepekaan gender kepada pelbagai pihak turut dilaksanakan bagi usaha itu,” katanya. – Bernama