the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, July 24, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Daulatkan bahasa asing antara punca Bahasa Melayu semakin terhakis – Pakar

KUALA LUMPUR: Ungkapan “bahasa jiwa bangsa” kerap didengar, namun sejauh mana masyarakat di negara ini memahami maksud tersurat dan tersirat peribahasa itu?

Membawa maksud umum bahasa sebagai identiti bangsa, Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai pengenalan rakyatnya di pentas dunia, tanpa mengira bangsa dan budaya.

Termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 152, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang melambangkan jati diri seluruh rakyat – bukan kaum Melayu semata-mata – serta perlu dijulang dan dipertahankan.

Namun, jika disandarkan pada situasi semasa, tidak sukar untuk ditelah semakin ramai rakyat negara ini kurang memahami peribahasa itu dan juga Perkara 152, ketika rata-rata ahli masyarakat lebih selesa berbahasa asing daripada mendaulatkan bahasa Melayu, terutama golongan muda.

Perkara ini mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menegur kelompok tertentu kerana dilihat mengagungkan bahasa Inggeris, selain mengarahkan semua komunikasi rasmi melibatkan jabatan dan agensi kerajaan dilakukan dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

BAHASA PERTUTURAN

Mengupas kedudukan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat negara ini, pensyarah kanan di Fakulti Bahasa dan Linguistik Unversiti Malaya Dr Norfaizal Jamain berkata dewasa ini kebanyakan ahli masyarakat, khususnya generasi muda, kurang menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka.

Menggariskan evolusi masa sebagai antara faktor penyumbang, beliau berkata kelompok itu dilihat lebih selesa dan cenderung menggunakan bahasa selain Melayu untuk berkomunikasi, terutamanya bahasa Inggeris.

“Keadaan ini boleh dilihat pada anak muda yang tinggal di bandar dan mereka yang berasal daripada keluarga yang bertutur dalam dwibahasa (bahasa ibunda dan Inggeris).

“Di sini menampakkan kurangnya kepedulian untuk berbahasa Melayu. Namun begitu, ini tidak bermakna mereka langsung tidak didedahkan kepada bahasa Melayu kerana bahasa ini masih merupakan bahasa rasmi dan bahasa pengantar di kebanyakan sekolah…cuma dari sudut penggunaan sebagai bahasa pertuturan harian, ia mungkin semakin terpinggir,” katanya kepada Bernama.

Melihat kenyataan perdana menteri bersandarkan pada asas yang kukuh, Norfaizal berkata ada dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan elit, yang menganggap bahasa Melayu sebagai “tidak ada kelas” atau hanya sesuai digunakan oleh orang biasa.

“Dalam kalangan golongan elit, termasuk profesional, pemimpin korporat dan sebahagian besar keluarga berada yang menetap di bandar, penggunaan bahasa Inggeris dilihat sebagai lambang status sosial dan kemegahan…ada juga yang boleh menguasai lebih daripada dua bahasa, namun pada masa sama meminggirkan bahasa Melayu.

“Kesan daripada itu, anak-anak dalam keluarga ini jarang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rumah. Apatah lagi mereka yang berada di sekolah swasta dan antarabangsa yang menggunakan bahasa pengantar selain bahasa Melayu. Pada akhirnya, keadaan ini menyumbang kepada kemerosotan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan anak muda,” tambahnya.

Anwar dalam tegurannya seperti yang dilaporkan oleh media, berkata tindakan meremehkan bahasa Melayu dengan menganggap kejayaan hanya boleh dicapai dengan penggunaan bahasa Inggeris adalah salah.

MEDIA SOSIAL, TEKNOLOGI

Dalam pada itu, Norfaizal mengakui media sosial dan kemajuan teknologi masa kini turut menyumbang dalam penyisihan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan generasi muda.

Jelasnya, penggunaan meluas bahasa rojak dan slanga asing di pelbagai platform digital seperti YouTube, TikTok, Instagram dan aplikasi WhatsApp membuatkan semakin ramai yang lupa keindahan bahasa Melayu jika digunakan dalam konteks yang tepat.

Selain itu, kata beliau, sebahagian besar aplikasi dan sistem teknologi terkini juga tidak menyediakan tetapan bahasa Melayu, iaitu satu keadaan yang secara tidak langsung melebarkan lagi jurang penguasaan bahasa Melayu dan asing dalam kalangan anak muda.

“Kebanyakan anak muda ketika ini lebih cenderung kepada kandungan digital yang secara tidak langsung mendorong mereka untuk meniru bahasa, intonasi dan kosa kata dalam bahasa tersebut sehingga mengabaikan struktur bahasa Melayu yang tepat.

“Di Malaysia sendiri juga banyak bahan ilmiah berkaitan teknologi seperti buku teks, jurnal, perisian dan sistem digital tidak tersedia dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris. Keadaan ini menyebabkan bahasa Melayu kurang digunakan sebagai medium ilmu dan akhirnya turut mendorong pelajar STEM (Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi) lebih terdedah kepada bahasa asing,” katanya.

Norfaizal berkata pengaruh teknologi yang berpaksikan bahasa Inggeris itu akan memberi cabaran besar dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus menjejaskan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.

DIJULANG

Sementara itu, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia Dr Nur Jannah Bukhari turut menyuarakan pandangan senada dan bersetuju penggunaan bahasa selain Melayu secara eksklusif di rumah boleh melemahkan penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata pendekatan seimbang perlu dilaksanakan dengan menetapkan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi utama di samping penggunaan bahasa lain.

“Penting juga untuk masyarakat memahami bahawa penguasaan bahasa Inggeris memberi kelebihan daya saing di peringkat antarabangsa, tetapi kejayaan dan kecerdasan seseorang tetap berakar pada penguasaan bahasa ibunda, dan kerana itulah bahasa Melayu perlu dijulang tanpa meremehkan peranan bahasa-bahasa lain.

“Bahasa Melayu bukan sahaja lambang identiti nasional, tetapi juga asas penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum…memperkukuh dan memartabat bahasa Melayu akan memastikan bahawa jati diri bangsa dan semangat cintakan negara terus terpelihara,” katanya.

Tegas beliau, institusi pendidikan perlu melaksanakan dasar yang boleh memperkukuh penggunaan bahasa Melayu, terutamanya yang berkaitan dengan kenegaraan, sejarah, ketamadunan dan sastera.

Langkah itu boleh dibuat menerusi penulisan tesis, jurnal ilmiah serta penganjuran seminar dan persidangan bagi memperluaskan lagi penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.

Beliau juga percaya penggunaan bahasa Melayu yang konsisten dalam aktiviti rasmi serta penulisan ilmiah di institusi pendidikan akan memupuk rasa hormat dan bangga dalam jiwa pelajar terhadap bahasa kebangsaan mereka.

“Selain itu, usaha juga perlu dibuat dalam era digital ini… meskipun pengaruh bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris adalah fenomena global yang tidak dapat dielakkan, dalam konteks Malaysia, usaha untuk mengekalkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang teknologi amat penting agar bahasa kebangsaan kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran moden.

“Oleh itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus berperanan lebih proaktif dengan mempergiat terjemahan dan penghasilan padanan istilah teknologi dalam bahasa Melayu yang praktikal dan mudah diterima… cara ini dapat membudayakan penggunaan bahasa Melayu, terutamanya oleh generasi muda hari ini, dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

RZOLV and Alkemio Bioscience forge strategic collaboration to advance rare earth and critical minerals...

RZOLV Technologies has signed a non-binding letter of intent with Argentina-based Alkemio Bioscience to jointly develop an integrated modular platform for recovering, separating and refining rare earth elements and critical minerals, paving the way for pilot-scale validation and commercial deployment.

“Across the Table” – Iconic chefs come together for luxury dining series at The...

The Naka Island, Phuket, will host the "Luxury Dining Series: Across the Table" from 12–15 August 2026, featuring Michelin-starred chefs, renowned mixologists and immersive culinary experiences that celebrate fine dining, Thai hospitality and the island's rich culture.

Shopee strengthens support for Malaysian businesses with new growth initiatives

Shopee Malaysia has introduced new seller growth initiatives under Shopee Lindung Niaga, including fee waivers, reduced commission rates, free advertising credits and fulfilment incentives to help local MSMEs start, scale and grow sustainably.

Watsons unveils “Watsons Evergreen” with Pantone to celebrate 185 years of trusted care and...

Watsons has launched "Watsons Evergreen" in collaboration with the Pantone Color Institute to celebrate its 185th anniversary, introducing a signature colour that represents trusted care, everyday vitality and the brand's enduring connection with customers across global markets.

STAMPEDE creates 11,000 free business pages to bring Singapore’s AI push to local F&B...

STAMPEDE has launched 11,000 free business pages to help Singapore F&B operators adopt AI-powered loyalty programmes, enabling hawkers, cafés and restaurants to improve customer retention, referrals and repeat visits without complex technology or additional hardware.

Alylytiq launches AI-powered research solutions to make big-brand insights affordable for Singapore SMEs

Market research consultancy Alylytiq LLP today announced the launch of Automytiq, a suite of AI-powered research solutions designed to make professional-grade market insights accessible to Singapore's small and medium-sized enterprises.

Thailand secures $43.6bn 1H 2026 investment surge as big tech accelerates Southeast Asia AI...

Thailand recorded US$43.6 billion in investment applications during the first half of 2026, led by AI data centres, digital infrastructure and renewable energy projects, strengthening its position as a key Southeast Asian hub for technology, manufacturing and foreign direct investment.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings