• 2023-01-09 05:12 PM

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan lebih 100,000 pengunjung akan hadir ke Kuala Lumpur Park Festival 2023 (KLPF 2023) yang bakal berlangsung pada 4 hingga 12 Mac ini di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata KLPF merupakan program penjenamaan semula dan kesinambungan daripada program Kuala Lumpur Orchid and Bonsai Show (KLOBS) yang telah diadakan pada 2012, 2014, 2015 dan 2017.

“Ia diadakan bertujuan untuk mempromosikan taman-taman awam di ibu kota sekali gus mengharapkan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam menyumbang kepada pembentukan bandar raya lestari dan mapan.

“Festival ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya dalam bidang landskap, reka bentuk hiasan rumah, kaedah penjagaan dan tanaman berasaskan makanan,“ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem e-Penilaian dan Hartanah DBKL, di sini, hari ini.

Menurutnya terdapat lima komponen utama yang akan diketengahkan iaitu BalconyKL Showdown, Environmental Arts Competition, Malaysian Art and Flora Gardens, Mystical Dome of Titiwangsa dan Garden of Heaven.

Selain itu, Mahadi berkata KLPF2023 juga menyajikan acara lain yang menarik seperti e-Market Place, Student Hub, Lepak Corner dan Outdoor Adventures serta pameran kebun-kebun komuniti Kuala Lumpur LA21.

Tidak ketinggalan buat peminat seni dan alam sekitar, festival ini turut menonjolkan keunikan Art Installation seperti Colourful Hanging Float, MountainnRhythm dan Magic Spring serta laman-laman menarik yang boleh dijadikan Instagrammable Spots bagi dimuat naik ke laman sosial pengunjung.

“Besar harapan kami agar KLPF2023 akan berjaya dilaksanakan dengan meriah seterusnya dapat meningkatkan minat warga kota terhadap seni bina dan landskap serta budaya menanam pokok terutamanya di Kuala Lumpur,“ katanya.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.klparkfestival.com atau melalui media sosial rasmi di Instagram @klparkfestival dan Facebook di KL Park Festival untuk maklumat lanjut. - Bernama