SHAH ALAM: Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa murka atas keputusan yang dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) terhadap Selangor FC.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata titah murka Sultan Selangor itu menggambarkan kemarahan serta kekecewaan peminat bola sepak terhadap keputusan MFL yang seolah-olah hilang sifat kemanusiaan, timbang rasa serta melampaui batas.

Beliau berkata jenayah yang berlaku terhadap pemain Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim merupakan satu titik hitam dalam sejarah bola sepak tanah air, dan sebagai badan pentadbir liga bola sepak, MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan serta bersifat empati terhadap nasib dan keselamatan pemain yang diperlakukan dengan kejam oleh pihak tidak berhati perut yang bertindak sebagai pengecut.

“Tindakan yang tidak pernah berlaku ataupun ‘unprecedented’ ini yang mengundang rasa kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan para penyokong seharusnya menjadi isyarat kepada MFL bahawa keputusan mereka dibuat tanpa sebarang rasa tanggungjawab,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amirudin berkata mengambil iktibar dan pedoman titah Sultan Selangor, beliau telah berbincang dengan Exco Sukan dan kerajaan negeri bersetuju melancarkan usaha bersama yang memberikan peluang kepada semua pihak termasuk para peminat Merah Kuning bagi mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan oleh MFL.

Beliau berkata maklumat lanjut berhubung usaha itu akan dikongsikan dalam masa terdekat oleh pihak Majlis Sukan Negeri Selangor dan Exco Sukan Negeri.

“Bagi menggerakkan usaha solidariti ini, saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan turut menyumbang kepada usaha mengumpul dana dan membayar denda pada minggu hadapan sebagai komitmen untuk menegakkan keadilan bagi Selangor FC,“ katanya.

Semalam, MFL memaklumkan Selangor FC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Skuad itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak, selain perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga akan dimainkan tanpa penonton.

Berikutan itu Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan MFL serta ahli Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) khususnya Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung denda dikenakan terhadap Selangor FC.