• 2025-09-10 03:12 PM

KUALA LUMPUR: Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 untuk memperkukuh perlindungan industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil dari negara luar.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong membentangkan rang undang-undang tersebut bagi bacaan kali kedua dan ketiga.

Beliau menjelaskan pindaan ini penting untuk menangani isu lambakan produk konvensional yang dijual lebih murah di Malaysia berbanding harga di negara pengeluar.

“Selain itu, ia turut menyasarkan import yang diberikan subsidi tidak adil oleh negara pengeluar dan kemudiannya dijual di Malaysia dengan harga lebih rendah, sekali gus memudaratkan pengeluar tempatan.”

Liew menekankan kepentingan pindaan undang-undang ini supaya siasatan dapat dibuat dan tindakan boleh dilaksanakan terhadap amalan tidak adil tersebut.

“Walaupun sebelum ini kita sudah ada undang-undang, tetapi ia tidak mencukupi.”

MITI telah melancarkan sistem pengurusan siasatan remedi perdagangan (TRIMA) untuk memudahkan proses pengemukaan petisyen oleh pengeluar tempatan khususnya PKS.

Dalam pelaksanaan siasatan duti anti-lambakan dan timbal balas, kerajaan tidak mengenakan sebarang kos terhadap industri tempatan.

Industri tempatan hanya perlu mengisi borang selidik serta mengemukakan bukti secara digital melalui sistem TRIMA.

“Ini dilaksanakan demi kelangsungan industri tempatan.”

Kerajaan juga menyediakan khidmat nasihat teknikal dan bimbingan untuk membantu PKS termasuk industri hiliran meningkatkan pemahaman mengenai langkah-langkah anti-lambakan serta timbal balas.

“Perkhidmatan kerajaan dari segi melaksanakan tindakan-tindakan amalan perdagangan adalah untuk semua pengeluar tempatan dari pelbagai sektor dan tidak terhad kepada sektor besi dan keluli.”

Bagi isu lambakan melalui e-dagang, kawalan dan penguatkuasaan dilaksanakan menerusi dasar percukaian serta kerjasama agensi berkaitan.

Kerjasama melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta Kementerian Kewangan. – Bernama