• 2025-09-10 05:30 PM

SEGAMAT: Lima individu termasuk tiga penjawat awam direman enam hari sehingga 15 September ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu bekalan lembu betina bernilai kira-kira 400,000 ringgit.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Rahimah Abd Majid selepas permohonan dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Johor di Mahkamah Sesyen Segamat pagi tadi.

Menurut sumber, kelima-lima suspek terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an yang ditahan secara berasingan semalam ketika hadir memberikan keterangan di SPRM Segamat antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.

Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat dengan memperakukan dan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran bekalan lembu betina kepada dua badan berkanun di Johor.

Pembekalan lembu betina tersebut sebenarnya tidak dilakukan walaupun tuntutan bayaran telah dikemukakan.

Kesemua suspek yang juga terdiri daripada seorang pemilik dan pengurus syarikat dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Februari 2023.

Pengarah SPRM Johor Hairuzam Mohmad Amin mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Bernama