BALIK PULAU: Seorang doktor lelaki berusia 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes cabul membabitkan pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Bayan Baru.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata doktor itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada pukul 8 malam semalam selepas diminta hadir memberi keterangan.
“Polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa pada 29 Jun lepas, dia mendapatkan rawatan di klinik tersebut kerana sakit perut. Semasa pemeriksaan, doktor menyuruh mangsa membuka baju dan menyentuh payudaranya,“ kata Sazalee.
Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 18 Julai.
Susulan penahanan, polis merampas telefon bimbit milik doktor untuk siasatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin mengesahkan doktor yang sama pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit wanita.
Doktor itu direman selama tiga hari sehingga 23 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan doktor sama pernah ditahan tiga kali atas kesalahan serupa di hospital dan klinik swasta di daerah Timur Laut, membabitkan tiga mangsa wanita.
Antara dakwaan, doktor memperdaya mangsa untuk membuka baju dan berlari setempat atas alasan rawatan.
Suspek juga disyaki merakam gambar badan mangsa menggunakan telefon semasa pemeriksaan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. – Bernama