LABUAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyeru semua agensi pelaksana di Wilayah Persekutuan menghentikan amalan tidak sihat memberikan had lanjutan masa (EOT) tanpa alasan kukuh kepada projek pembangunan yang lewat siap.
Beliau menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini.
Projek berkaitan kemudahan awam seperti sekolah, hospital, dan perumahan anggota tentera perlu disiapkan tepat pada masanya tanpa sebarang kompromi.
“Amalan memberi EOT tanpa sebab munasabah adalah tidak sihat. Kontraktor perlu bertanggungjawab menyiapkan projek mengikut jadual yang dipersetujui,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.
Mesyuarat tersebut dihadiri wakil agensi Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
Ia berfungsi sebagai platform penting bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan lancar serta menyelaras dasar kesejahteraan rakyat di Wilayah Persekutuan.
Menurut laporan Roling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak 648 projek fizikal dan 320 projek bukan fizikal direkodkan.
Daripada jumlah itu, 402 projek dalam fasa prapelaksanaan, 461 projek sedang dilaksanakan, dan 104 projek di fasa pascapelaksanaan.
Dr Zaliha turut menggesa agensi berkaitan memantau kemajuan projek dengan teliti dan mengelak meluluskan EOT secara sewenang-wenangnya.