Dua anggota polis didakwa peras ugut lelaki, minta RM600

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memeras ugut seorang lelaki dengan meminta wang RM600, tiga bulan lepas.

Koperal Mohd Firdaus Abdul Samad, 36, dan Lans Koperal Mohamad Firdaus Abu Bakar, 31, didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Teo Kok Yong, 43, iaitu satu bencana akan berlaku kepadanya dan mendorong mangsa menyerahkan wang RM600 kepada kedua-dua tertuduh di tepi Jalan 2/125, Desa Petaling, Cheras di sini pada 11 pagi, 24 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind tidak menawarkan jaminan manakala peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed memohon jaminan rendah atas alasan kedua-dua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Sept ini untuk sebutan semula kes.