JERTIH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menangkap dua beruang matahari dalam tempoh kurang sebulan di Kampung Padang Bual, Hulu Besut dekat sini.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata beruang pertama seberat 100 kilogram (kg) ditangkap pada 30 Mac manakala seekor lagi seberat 110 kg ditangkap semalam.

“Beruang kedua masuk ke perangkap yang dipasang di lokasi sama di kampung itu susulan aduan orang awam pada 12 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loo berkata dua beruang jantan itu dilaporkan memasuki ladang berhampiran kampung berkenaan sejak bulan lepas.

Beliau seterusnya menasihatkan pemilik kebun untuk memastikan keadaan persekitaran kebun bersih bagi mengelakkan kehadiran haiwan liar.